Resipi Masakan Orang Dulu-Dulu Ikan Masak Taucu

Resipi Masakan Orang Dulu-Dulu Ikan Masak Taucu

Ok. Harini saya masak lauk nostalgia yang almarhum mak selalu masak masa saya kecil dulu, tahun 90an. Lauk ni jugak, lauk yang familiar bagi orang Perak. Ada yang panggil masak taucu. Ada jugak yang panggil gulai taucu. Ikut sukalah nak sebut yang mana. Dulu-dulu, mak selalu masak dengan ikan temenung. Kuah dia pulak, kena buat lebih sebab saya sejenis yang suka makan stail banjir dengan lauk ni.

Nak masak pun tak susah. Bahan-bahan pun cuma guna bahan basic dalam masakan. Cuma kena sedikit berhati-hati tentang kegunaan garam. Lepas dah masukkan ikan goreng barulah adjust untuk tambah atau tak perlu lagi garam. Takut nanti, terlajak masin pula. Selamat mencuba.

Bahan-Bahan:

  • 5-6 ekor ikan kembung/cencaru/kayu/tenggiri/keli
  • 1 sdt serbuk kunyit
  • 1 sdt garam
  • 2 biji bawang besar*
  • 4 ulas bawang putih*
  • 2 inci halia*
  • 2 biji cili merah/hijau/padi (belah 2 bahagian)
  • 4-5 sdb taucu
  • 4 cawan air
  • 2 keping asam gelugur
  • 1-2 batang timun

Cara Penyediaan:

1. Lumur ikan dengan serbuk kunyit dan garam. Goreng sehingga masak (kalau guna air fryer; suhu 200C, selama 15-20 minit). Hiris bahan-bahan yang bertanda (*).

2. Panaskan sedikit minyak masak, tumis bahan-bahan yang bertanda (*) dan cili sehingga layu. Masukkan taucu, kacau rata. Masukkan air dan asam gelugur. Biarkan sehingga kuah mendidih.

3. Akhir sekali, masukkan ikan yang telah digoreng dan potongan timun. Biarkan seketika. Jika perlu, perisakan dengan garam. Sedia untuk dihidangkan.

Lagi Bertambah Sedap Kalau Makan Dengan Sambal Minang Ni >> KLIK DI SINI

Resipi Masakan Orang Dulu-Dulu Ikan Masak Taucu

Resepi Oleh: Noor Ashikin Saerah