Resipi Agar-Agar Sirap Ros Selasih Cukup Mudah
Menu terakhir yang saya buat sempena 1 Syawal tempoh hari. Saya memilih untuk membuat agar-agar sirap ros selasih yang ‘light & simple’ sebagai pencuci mulut. Agar-agar ini sangat mudah untuk disediakan dan kos untuk membuatnya tidak tinggi kerana menggunakan bahan-bahan asas sahaja.
Ia juga sangat sesuai untuk disajikan semasa rumah terbuka atau ‘potluck’. Percayalah, satu bekas pasti tidak cukup, terutamanya apabila dimakan semasa masih sejuk. Saya kongsikan resipi yang semestinya versi kurang manis. Selamat mencuba.
Bahan-Bahan: (10-12 bekas berkapasiti 100 ml)
- Biji selasih secukupnya
- 10 g serbuk agar-agar
- 80 g (1/3 cawan) gula pasir
- 2 helai daun pandan (simpul)
- 1 L (4 cawan) air
- 2 sdb sirap ros
Cara Penyediaan:
1. Rendam biji selasih dalam air paip selama 10–15 minit hingga kembang. Bilas dan tapis sebelum digunakan.
2. Masukkan kesemua bahan (kecuali biji selasih) ke dalam periuk. Masak larutan agar-agar atas api sederhana hingga mendidih.
3. Masukkan 1 sudu teh biji selasih ke dalam bekas yang sesuai, diikuti dengan larutan agar-agar. Sejukkan sehingga agar-agar mengeras sepenuhnya sebelum dihidangkan.
Guna Acuan Puding Macam Ni Untuk Nampak Cantik & Mudah Untuk Dihidang >> KLIK DI SINI

Resipi Oleh: Noor Ashikin Saerah


