Resepi Nasi Ayam Hainan

Resepi Nasi Ayam Hainan

Bahan Ayam:

  • Ayam sepeha (1/4 ayam)
  • Daun bawang
  • Ketumbar
  • Halia potong nipis
  • Bawang putih beberapa ulas
  • Karot (boleh gantikan dengan kacang tanah atau lobak putih)
  • Garam
  • Stok ayam (chicken granules jika mahu)

Cara Memasak:

1. Panaskan periuk dengan air secukupnya. Setelah mendidih sekali. Masukkan semua bahan-bahan di atas dan kecilkan api. Untuk ayam sepeha di atas saya teruskan merebus selama 40 minit dengan api paling kecil. Jangan di kacau ayam untuk mengelakkan kulitnya atau isi terkoyak.

2. Setelah 40 minit angkat ayam dan rendam terus dalam air berais untuk menghentikan proses masaknya ayam tersebut.

3. Ayam kenalah sepenuhnya masak tetapi masih lembut, bewarna putih sedikit pink. Jika isi bewarna cokelat gelap dan keras maknanya anda terlebih masak atau api terlalu besar. Jika dipotong tulangnya masih berdarah maka anda tidak cukup memasaknya.

+ Simpan 3/4 air untuk memasak nasi dan sos dan 1/4 untuk sup.

Bahan Nasi:

  • Beras 1 cawan
  • Daun pandan simpul
  • Bawang putih cincang halus 3 ulas
  • Bawang kecil hiris 1 biji
  • Air rebusan ayam
  • Majerin/Mentega/Minyak sapi 2 sudu

+ Boleh juga menggunakan lemak ayam yang digoreng sehingga mengeluarkan minyak.

Cara Memasak:

1. Basuh beras dan toskan. Tumis minyak sapi dan daun pandan seketika sehingga naik bau.

2. Masukkan bawang putih dan bawang merah dan masak sehingga menguning. Masukkan beras dan aduk serata.

3. Masukkan air rebusan ayam tadi secukupnya seperti menanak nasi biasa. Jika air rebusan tidak cukup boleh tambah air biasa. Ikut kesesuaian.

+ Jumlah air bergantung pada jenis beras digunakan. Saya masak nasi dengan menggurangkan sedikit jumlah air sewaktu menanak sehingga beras menjadi nasi separa masak dan meneruskan di kukusan sehingga nasi kembang elok. Sewaktu mengacau nasi, gunakan lidi atau chopstick untuk elakkan nasi hancur.

Resepi Nasi Ayam Hainan

Bahan Pencicah Cili Merah;

  • Bawang putih 3 ulas
  • Cili merah besar 2 biji
  • Sedikit air rebusan ayam
  • Garam
  • Gula
  • Cuka

Cara menyediakan:

1. Blend halus cili dan bawang putih. Gunakan sedikit air rebusan ayam tadi

2. Perasakan dengan cuka, gula dan garam mengikut citarasa. Saya suka sedikit manis.

+ Kalau mahu boleh gantikan gula dengan madu, tambah cili padi atau masak semula adunan diatas. Saya tidak melakukan step ini kerana cili sudah pedas dan memang suka cili begini.

Bahan Halia:

  • 2 inci halia di parut
  • 2 ulas bawang putih ditumbuk
  • Minyak dalam 2 sudu besar
  • Garam

Cara Memasak:

1. Campurkan bawang putih dan halia parut di atas. Boleh tambahkan sedikit air rebusan ayam dan masukkan minyak. Gaul rata. Perasakan dengan garam.

2. Panaskan campuran sebentar dengan api perlahan untuk membuang rasa pedar halia dan bawang putih. Jangan sampai garing ya. Boleh buat dan simpan di dalam bekas. Masukkan sedikit minyak lagi supaya ia tahan lama.

Bahan Kicap Minyak Bijan Untuk Ayam:

  • Minyak bijan 2 sudu besar
  • Kicap cair 1 sudu
  • Gula satu sudu kecil
  • Sedikit air rebusan ayam

Cara Memasak:

1. Campurkan semua bahan-bahan di atas dan masukkan sedikit air rebusan ayam yang masih panas.

2. Curahkan ia di atas nasi dan ayam sewaktu dihidang. Jika ada taugeh, celur dan curahkan kicap bijan ini. Enakkk.

Untuk Sup:

  • Air rebusan ayam
  • Karot cincang halus
  • Garam jika perlu
  • Taburan ketumbar dan daun sup hiris
Resepi Nasi Ayam Hainan

Resepi Oleh: Nor Khomariah Norrohman