Resepi Laksam Kedah

Hari ni saya masak menu hari raya yang paling ditunggu-tunggu iaitu laksam Kedah. Ada cerita disebalik resepi ni.

Pemilik resepi asal adalah seorang penjual laksam yang popular di kampung saya. Kakak saya seorang OKU dan sangat meminati laksam pakcik tu maka mak saya minta beliau kongsikan resepi supaya boleh masak bila kakak saya teringin.

Pakcik tersebut bermurah hati berkongsi dengan mak. Beberapa bulan kemudian pakcik tu meninggal dunia. Mak turunkan kepada saya dan kini saya kongsikan resepi laksam ni kepada warga MAHN. Semoga perkongsian ni dikira sebagai sedekah jariah buat pakcik dan mak saya. Selamat mencuba.

Bahan kulit laksam:

1) 1kg tepung beras cap Teratai
2) 1 cawan tepung gandum cap Faiza
3) 1 sudu besar garam halus
4) 1 sudu makan minyak masak
5) 3 – 3.5 liter air suam panas

Bahan kuah laksam:

1) 2.5kg ikan kembung
2) 500g bawang besar
3) 5 inci lengkuas
4) 5 batang serai
5) 2 inci belacan
6) 2 bungkus rempah kari ikan cap O
7) 50g asam keping
8 ) 5 sudu besar gula
9) 4 sudu besar garam halus
10) 1 sudu teh perasa Ajinamoto
11) Santan 2 biji kelapa
12) 1 batang bunga kantan
13) Secekak daun kesum

Bahan rencah ulam:

1) Telur rebus
2) Cili padi
3) Limau kasturi
4) Daun selom
5) Daun salad
6) Bawang besar
7) Timun

Cara masak kulit laksam:

1) Bancuh semua bahan kulit laksam dalam mangkuk atau periuk.

2) Air suam panas dimasukkan berperingkat, jangan sekaligus. Cuba buat selapis kulit dulu dalam periuk kukus.

3) Panaskan tudung periuk terlebih dahulu. Sapukan minyak masak supaya kulit laksam tak melekat ke tudung. Cara nak tahu kulit dah masak adalah bila wap yang keluar tu “garang” dan kulit menggelembung. Bila siap, angkat dan gulungkan.

4) Kalau agak keras, tambah air suam panas. Adjust sampai dapat konsistensi yang diinginkan.

Cara masak kuah laksam:

1) Rebus ikan kembung yang telah disiang. Masukkan 5 asam keping dan 1 sudu besar garam dalam air rebusan. Asingkan isi, tulang dan kepala ikan.

2) Kisar isi ikan dengan air. Masukkan dalam periuk. Begitu juga kepala ikan. Saya tak guna tulang ikan sebab tak suka rasa tulang dalam kuah laksam. Saya ambil bahagian kepala, kisar dan tapis. Cuma ambil airnya saja. Kesemua air rebusan ditapis dan masukkan semula dalam periuk kuah.

3) Kisar bawang besar dengan air yang mencukupi sampai halus. Tuang dalam periuk. Bawang ni memaniskan kuah.

4) Ketuk serai dan lengkuas, masukkan dalam periuk. Belah 4 bunga kantan tu, petik daun kesum dan masukkan. Kemudian masukkan belacan dan asam keping.

5) Masukkan 2 paket kecil serbuk kari ikan cap O, ni resepi asli ya. Boleh juga gantikan dengan rempah kari ikan jenama lain tapi rasanya dah tak sama.

6) Masukkan santan dari 2 biji kelapa ataupun dalam 500g santan.

7) Tambahkan gula, garam dan perasa Ajinamoto. Adjust ikut citarasa anda.

8) Masak sehingga mendidih. Elok dibiarkan semalaman supaya bahan-bahan “mesra”.

Biasanya saya siapkan kuah dahulu. Esoknya baru saya buat kulit laksam. Sekian. Saya izinkan share.

Resepi Oleh: Naz Ahmad dari Group MAHN

Comments are closed.