Cara Betul Buat Nasi Goreng Cina Baru Sedap

Cara Betul Buat Nasi Goreng Cina Baru Sedap

Tempoh hari, ada seseorang yang bertanya tentang cara untuk memasak nasi goreng Cina yang sedap dalam group ini. Ada pelbagai jawapan yang diberikan termasuk yang membantu dan tidak membantu. Saya turut kongsikan cara saya di ruangan komen posting tersebut.

Saya gemar menonton rancangan memasak di saluran AFN dan menonton video masakan di YouTube. Boleh dikatakan setiap resipi nasi goreng Cina yang dikongsikan berbeza mengikut cara yang diamalkan oleh setiap keluarga. Berdasarkan pemerhatian saya, apa-apa resipi pun boleh menghasilkan nasi goreng Cina yang sedap asalkan mempunyai 3 bahan ini iaitu serbuk lada putih, minyak bijan dan daun bawang.

Saya kongsikan resipi nasi goreng Cina cara saya. Terpulang untuk masukkan apa-apa protein dan sayur kegemaran di dalamnya. Hari ini, saya hanya menggunakan dada ayam dan telur untuk protein dan sayur campur (mixed vegetables) untuk sayurnya. Selamat mencuba.

Bahan-Bahan:

  • 2 cawan beras
  • 2 cawan air
  • 2 sdb kicap cair
  • 8 ulas bawang putih*
  • 1 pokok daun bawang (bahagian putih)*
  • 1-2 ketul dada ayam/10-15 ekor udang
  • 2-3 biji telur
  • 2 cawan sayur campur/ apa-apa sayur kegemaran
  • 1/2 sdb serbuk lada putih
  • 1 sdb minyak bijan
  • Daun bawang (bahagian hijau)

Cara Penyediaan:

1. Masukkan beras yang telah dicuci dan air ke dalam periuk nasi. Masak nasi seperti biasa. Apabila nasi sudah masak, sejukkan, gemburkan dan gaul dengan kicap cair.

2. Kisar kering atau tumbuk kasar atau cincang bahan-bahan yang bertanda (*). Panaskan sedikit minyak masak. Tumis bahan kisar sehingga garing. Masukkan ayam yang telah dipotong. Biarkan sehingga ayam masak sepenuhnya.

3. Tolak ayam ke tepi kuali. Masukkan telur. Biarkan seketika. Tolak tarik telur dengan menggunakan sudip perlahan-lahan untuk dijadikan telur hancur. Masukkan nasi dan sayur campur. Kacau rata dan masak sehingga nasi kering.

4. Masukkan pula serbuk lada putih. Kacau rata. Perasakan dengan garam secukupnya. Akhir sekali, renjiskan dengan minyak bijan. Kacau sekejap. Tutup api. Taburkan dengan hirisan daun bawang. Sedia untuk dihidangkan.

Nota: Boleh gunakan baki nasi yang telah disimpan semalaman.

Bertambah Sedap Bila Makan Dengan Sambal Minang Ni >> KLIK DI SINI

Cara Betul Buat Nasi Goreng Cina Baru Sedap

Resepi Oleh: Noor Ashikin Saerah