Puding Koktel Bukan Sahaja Cantik Tapi Sedap
Teringin pulak nak makan puding bila nampak ramai kawan-kawan buat puding untuk iftar. Buah koktel dalam tin ada sedikit lagi lebihan dari buat Puding Trifle baru-baru ni, maka terhasillah Puding Koktel ni.
Bahan-Bahannya:
- 18 g agar-agar bertali – direndam 1/2 jam dan kemudian ditoskan
- 4 cawan (1 liter) air (atau air pandan)
- 2 cawan (500 ml) susu cair
- 1 cawan gula (boleh kurangkan)
- 1 sudu teh serbuk koko
- Sedikit pewarna hijau
- Sedikit pes pandan (optional – tak nak gunapun tak apa)
- Lebih kurang 1 cawan buah2an koktel dalam tin – ditoskan sirapnya
- Esen vanila (jika tidak menggunakan air atau esen pandan)
Cara Membuatnya:
1. Satukan air (atau air pandan) dan agar-agar dan masak sehingga agar-agar larut. Masukkan susu cair, gula dan vanila (jika menggunakannya). Masak atas api sederhana sambil dikacau selalu sehingga mendidih. Angkat.
2. Tapis adunan tadi dan asingkan lebih kurang 1 – 1 1/4 cawan adunan. Campurkan serbuk koko ke dalam adunan yang masih panas ini dan kacau hingga larut. Jika sukar larut, masak sebentar sambil dikacau hingga koko larut. Ketepikan.
3. Asingkan pula 2 1/2 cawan adunan dan ketepikan (biarkan adunan ini berwarna putih). Baki adunan di dalam periuk dicampur dengan pes pandan (jika suka) dan pewarna hijau. Kacau hingga sebati.
4. Tuang 1/2 dari adunan berwarna hijau ke dalam acuan berukuran 7 inci. Ketepikan hingga mengeras. Bila adunan hijau telah mengeras, tuangkan pula 1/2 adunan coklat di atasnya. Ketepikan lagi hingga mengeras.
5. Bila adunan kedua telah mengeras, tuangkan kesemua adunan putih di atasnya (kalau adunan putih sudah sejuk atau mengeras, panaskan dulu sehingga cair semula baru dituangkan atas lapisan kedua).
6. Taburkan buah-buahan koktel ke dalam adunan putih. Jika ada potongan buah yang agak besar, potong dahulu kepada saiz yang lebih kecil. Ketepikan hingga mengeras.
7. Panaskan baki adunan koko dan tuangkan ke atas adunan putih yang telah keras tadi. Bila lapisan ke empat ini telah mengeras, panaskan baki adunan hijau dan tuang ke atasnya. Sejukkan dahulu sebelum dihidangkan.
Nota: Untuk mendapatkan lapisan yang lekat elok antara satu sama lain, sebelum curahkan lapisan yang baru panaskan dulu adunan tersebut. Kemudian baru curahkan. Selamat Mencuba!
Resipi Oleh: Mufidah Abdul Hadi Alyunusi